Tuesday, 14 June 2011

Membuat Kompos Di Rumah : Panduan Pengguna

Membuat kompos adalah cara semulajadi bahan organik dikitar semula. Ianya adalah proses di mana bahan-bahan organik direputkan oleh mikroorganisma dalam keadaan beroksigen. Hasil daripada proses ini ialah kompos yang menguntungkan alam sekitar sebagai baja semulajadi untuk perkebunan dan pertanian.

Membuat kompos mempunyai banyak faedah, antaranya ialah :

  • menguntungkan alam semulajadi dengan mengitar semula bahan-bahan sumber organik yang bernilai.
  • menjimatkan wang daripada membeli baja untuk tumbuhan.
  • memainkan peranan sebagai pendandan tanah dan menambah isipadu tanah.
  • menjimatkan air dengan menahan kelembapan dalam tanah.

Empat bahan yang penting dalam membuat kompos ialah bahan kering,bahan hijau,udara dan juga air. 'Bahan kering' dan 'Bahan hijau' merujuk kepada bahan organik yang boleh reput dan menjadi bahan utama untuk membuat kompos. 'Bahan kering' adalah bahan seperti daun kering,ranting dan kayu,serbuk kayu dan sebagainya. Bahan-bahan seperti ini banyak mengandungi karbon. 'Bahan hijau' pula adalah merujuk kepada sisa buangan hijau yang basah seperti sisa-sisa sayur, kupasan buah-buahan dan najis. Bahan-bahan ini pula banyak mengandungi nitrogen. 'Bahan kering' dan 'bahan hijau' hanya digunakan separuh sahaja mengikut isipadu dalam sesuatu timbunan kompos.

Bahan kering + Bahan hijau + Udara + Air

Buku panduan ini bertujuan untuk membantu rumah-rumah kediaman untuk memainkan peranan mereka dalam mengasingkan sisa-sisa organik dan menggunakannya untuk membuat kompos.

Buku panduan ini difokuskan kepada orang awam dan bukannya untuk tujuan huraian saintifik membuat kompos. Objektif utamanya ialah untuk memberi pandangan am terhadap proses membuat kompos dan biologinya serta memperkenalkan beberapa contoh terpilih untuk digunakan dalam rumah. Semua sistem membuat kompos akan menghasilkan kompos kecuali hanya masa yang diambil dan kualitinya yang akan menjadi berbeza.

Sistem-sistem membuat kompos antaranya ialah :

  • membuat kompos menggunakan beg plastik
  • membuat kompos menggunakan pasu bunga
  • membuat kompos secara menara tayar
  • lubang kompos
  • membuat kompos secara batas
  • membuat kompos menggunakan karung dawai
  • membuat kompos secara timbunan
  • membuat kompos menggunakan tong tanpa dasar
  • membuat kompos menggunakan cacing

No comments:

Post a Comment