Tuesday, 28 June 2011

Mudball





Monday, 20 June 2011

Effective Microorganism (EM) Mud balls

EM Mud balls ataupun dikenali juga sebagai 'bola lumpur EM' berguna sebagai salah satu penyelesaian alam sekitar ke arah mengurangkan pencemaran air dan seterusnya meningkatkan kualiti air di sungai-sungai dan parit-parit. Proses penapaian yang keluar dari bola lumpur akan mengurangkan atau menghapuskan ammonia nitrogen yang terdapat dalam buangan manusia dan kebocoran dalm sistem pembetungan air.




Tuesday, 14 June 2011

Membuat Kompos Di Rumah : Panduan Pengguna

Membuat kompos adalah cara semulajadi bahan organik dikitar semula. Ianya adalah proses di mana bahan-bahan organik direputkan oleh mikroorganisma dalam keadaan beroksigen. Hasil daripada proses ini ialah kompos yang menguntungkan alam sekitar sebagai baja semulajadi untuk perkebunan dan pertanian.

Membuat kompos mempunyai banyak faedah, antaranya ialah :

  • menguntungkan alam semulajadi dengan mengitar semula bahan-bahan sumber organik yang bernilai.
  • menjimatkan wang daripada membeli baja untuk tumbuhan.
  • memainkan peranan sebagai pendandan tanah dan menambah isipadu tanah.
  • menjimatkan air dengan menahan kelembapan dalam tanah.

Empat bahan yang penting dalam membuat kompos ialah bahan kering,bahan hijau,udara dan juga air. 'Bahan kering' dan 'Bahan hijau' merujuk kepada bahan organik yang boleh reput dan menjadi bahan utama untuk membuat kompos. 'Bahan kering' adalah bahan seperti daun kering,ranting dan kayu,serbuk kayu dan sebagainya. Bahan-bahan seperti ini banyak mengandungi karbon. 'Bahan hijau' pula adalah merujuk kepada sisa buangan hijau yang basah seperti sisa-sisa sayur, kupasan buah-buahan dan najis. Bahan-bahan ini pula banyak mengandungi nitrogen. 'Bahan kering' dan 'bahan hijau' hanya digunakan separuh sahaja mengikut isipadu dalam sesuatu timbunan kompos.

Bahan kering + Bahan hijau + Udara + Air

Buku panduan ini bertujuan untuk membantu rumah-rumah kediaman untuk memainkan peranan mereka dalam mengasingkan sisa-sisa organik dan menggunakannya untuk membuat kompos.

Buku panduan ini difokuskan kepada orang awam dan bukannya untuk tujuan huraian saintifik membuat kompos. Objektif utamanya ialah untuk memberi pandangan am terhadap proses membuat kompos dan biologinya serta memperkenalkan beberapa contoh terpilih untuk digunakan dalam rumah. Semua sistem membuat kompos akan menghasilkan kompos kecuali hanya masa yang diambil dan kualitinya yang akan menjadi berbeza.

Sistem-sistem membuat kompos antaranya ialah :

  • membuat kompos menggunakan beg plastik
  • membuat kompos menggunakan pasu bunga
  • membuat kompos secara menara tayar
  • lubang kompos
  • membuat kompos secara batas
  • membuat kompos menggunakan karung dawai
  • membuat kompos secara timbunan
  • membuat kompos menggunakan tong tanpa dasar
  • membuat kompos menggunakan cacing

Monday, 13 June 2011

Mikroorganisma Efektif (EM)

Mikroorganisma efektif ( EM) mula diperkenalkan 25 tahun lalu oleh Dr. Teruo Higa, seorang profesor Hortikultur daripada Jepun. EM dan mikroorganisma berguna dihasilkan daripada bahan yang biasa digunakan dalam industri makanan melalui proses penapaian. EM sangat efektif untuk mengdegridasikan bahan-bahan organik dan telah digunakan lebih dari 150 buah negara.

Prinsip-prinsip penggunaan EM adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia, memberikan faedah ekonomi, mudah digunakan, mesra alam dan produktiviti yang berkualiti. Terdapat tiga (3) jenis mikroorganisma EM yang utama :

  • Bakteria Asid Laktik - Bakteria asid laktik merembeskan asid laktik daripada gula dan karbohidrat yang dihasilkan oleh yis dan bakteria fototrofik. Makanan seperti yogurt dan jeruk sudah lama dibuat dengan menggunakan bakteria ini. Asid laktik adalah agen pensterilan kuat yang boleh membunuh mikroorganisma patogen dan meningkatkan kadar pengkomposan bahan organik termasuk lignin dan selulosa.

  • Bakteria Fototrofik - Bakteria fototrofik boleh hidup berdikari. Ia memproses bahan dari lelehan akar, bahan organik dan gas berbahaya seperti hidrogen sulfat dengan menggunakan cahaya sebagai punca tenaga. Antara substrat-substrat berguna yang dirembeskan adalah asid amino, asid nukleik, bahan bioaktif dan gula. Bahan buangan bakteria fototrofik boleh diserap terus oleh tumbuhan dan merangsang pertumbuhan bakteria berguna.

  • Yis / Ragi - Yis atau ragi mensintesis antimikrobial dan substrat-substrat seperti asid amino dan gula yang dihasilkan oleh bakteria fototrofik, bahan-bahan organik dan lelehan akar. Bahan bioaktif seperti hormon dan enzim yang dihasilkan oleh yis akan membantu mencepatkan pertumbuhan sel pokok dan akar serta mikroorganisma-mikroorganisma EM yang lain.

Beberapa kegunaan asas EM adalah untuk penternakan, pertanian, dan pengawalan alam sekitar.





Thursday, 9 June 2011

Air Tahun 2007

Monday, 6 June 2011

Bio-Indikator

Bio indikator ialah suatu respon organisma atau biologi yang mendedahkan kehadiran bahan pencemar kekerapan gejala khas atau tanggapan terukur. Organisma atau komuniti organisma ini menyampaikan maklumat mengenai perubahan dalam persekitaran atau kuantiti pencemaran alam sekitar dengan menukar salah satu daripada cara berikut iaitu fisiologi, kimia atau perilaku.

Antara maklumat yang boleh didapati daripada aktiviti ini ialah kandungan elemen tertentu atau sebatian yang terkandung dalam badan organisma, morfologi atau stuktur sel organisma, proses metabolik-biokimia,perlakuan sesuatu organisma dan struktur populasi.

Kaedah-kaedah untuk menjalankan aktiviti bio-indikator adalah seperti berikut :

  1. Ambil satu spesimen makroinvertebrata dan bandingkan dengan gambar bewarna yang telah disediakan.
  2. Dapatkan nombor muka surat kumpulan yang dipilih, seterusnya camkan haiwan tersebut dengan memeriksa rajah dan ciri-ciri yang tertulis pada haiwan di muka surat tersebut.
  3. Beri nama makroinvertebrata anda dan rujuk kepada skor (nilai toleran).
  4. Setelah selesai menamakan dan memberi nilai skor (nilai toleransi) kepada semua makroinvertebrata anda, kirakan skornya.
  5. Bahagikan dengan bilangan kumpulan makroinvertebrata yang anda temui. Anda akan mendapat nilai kualiti air biologi.
  6. Rujuk kepada kategori kualiti air yang telah diberi dan tentukan kualiti air sungai anda.












*Borang Pemarkahan*

*simbol kualiti air*


Saturday, 4 June 2011

Program Pemantauan Kualiti Air Menggunakan Kaedah Bio-Indikator

Program ini dilaksanakan di peringkat kebangsaan oleh JPS Malaysia dan perlu dijayakan oleh semua negeri. Ia merupakan program berbentuk kajian lapangan di mana persampelan air diambil dan dibandingkan dengan penunjuk biologi yang telah ditetapkan dalam garis panduan. Dengan itu, tahap kualiti dapat ditentukan, dipantau dan langkah-langkah yang bersesuaian dapat diambil bagi memastikan pencemaran air sungai terkawal.

Aktiviti ini disertai oleh semua peringkat pegawai JPS. Seterusnya, pegawai-pegawai ini hendaklah menyebarkan atau mendedahkan kaedah ini kepada pihak sekolah terutamanya para pelajar melalui program-program seperti kempen "Cintailah Sungai Kita" di setiap negeri atau jajahan masing-masing. Malah, program ini juga haruslah dijalankan di peringkat mukim serta kampung-kampung bagi meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat mengenai kepentingan menjaga kualiti air sungai.

Melalui program-program seperti ini, pemantauan kualiti air dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Selain itu, dengan adanya kerjasama antara pihak JPS dan pihak sekolah serta masyarakat setempat,kualiti air sungai dapat dinaikkan ke tahap yang lebih bersih. Malah, ia juga dapat mengeratkan hubungan di antara pihak JPS dan masyarakat setempat.